ADAT SEZAMAN
Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan mendalam
terlalu indah apabila dipandang
terlalu mulia apabila diselidik
santun si dara jadi idaman
warak si teruna jadi ikatan
si tua tersenyum mesra
memandang teruna dara
sama cantik sama padan
berganding bersama
di singgahsana…
masa itu telah berlalu
zaman sudah berlalu
santun sang dara
dan warak sang teruna telah lenyap
si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
tanpa hormat
tanpa batasan
adat sezaman ditinggal jauh
adat agama dipandang remeh
adat kuning jadi ikutan





WAN NAZIHAH WAN ABDULLAH WAN ABDULLAH
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka










Maksud
Zaman manusia yang hidup dalam peradaban dan tatasusila semakin berlalu.Namun begitu, kesan yang ditinggalkan amat mendalam. Adab sopan manusia amat indah apabila dipandang mata dan terlalu mulia apabila diselidiki. Hal ini terserlah dalam konteks hubungan anak gadis dengan anak teruna yang sopan dan menyenangkan mata orang tua-tua. Namun begitu, pada masa ini, kesantunan anak dara dan kewarakan anak teruna telah lenyap. Hal ini menyebabkan orang tua berdukacita pabila melihat teruna dan dara yang bergandingan tanpa segan silu. Mereka tidak meghormati orang lain dan tidak menghiraukan batasan pergaulan. Hal ini demikian kerana mereka telah meninggalkan adat bangsa dan memandang remeh terhadap adat agama. Adat yang diiikuti ialah budaya kuning yang datang dari Barat.
Tema
Adat dan warisan yang sudah diabaikan oleh generasi muda.
Persoalan
       1.   Pencemaran budaya oleh generasi muda yang mengabaikan rasa malu.
       2.   Keindahan budaya bangsa masa lampau yang mementingkan kesopanan.
       3.  Sikap generasi masa ini yang meremehkan soal agama.
       4.  Budaya kuning yang telah menyerap dalam kalangan generasi muda.
Nilai
1.       Kesantunan
Remaja yang sopan santun indah dipandang.

2.       Berhati-hati
Berhati-hati dalam pergaulan dengan menjaga batas diri.

3.       Mencintai budaya
Mengamalkan budaya dan adat resam Timur.
Pengajaran

1.       Kita hendaklah menjaga adat resam daripada tercemar
2.       Kita mestilah menjaga batas pergaulan teruna dan dara.
3.       Kita hendaklah kembali kepada ajaran agama
4.       Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua.
5.       Kita haruslah mempunyai jati diri yang kukuh.


           

               LATIHAN

i.                     Berikan maksud rangkai kata adat kuning jadi ikutan ?. (2 markah)
ii.                   Pada pendapat anda, apakah kesan jika adat warisan bangsa semakin hilang?. (4 m)
iii.                  Huraikan persoalan-persoalan yang terdapat dalam sajak “Adat Sezaman”  (3m )

0 comments:

Post a Comment